Sunday 29 January 2017

Pantun Nasihat

PANTUN NASIHAT:
BERUSAHA UNTUK BERJAYA
Burung merbah burung kenari,
         Hinggap di dahan pohon getah;
Banyakkan usaha kepada diri,
         Masa kita muda dan mentah.

Pergi berburu hingga sempadan,
         Dapat kancil penuh bermaya;
Diri kita penentu masa hadapan,
        Sama ada baik atau sebaliknya.

Menangkap haruan di nun jauh,
        Tertangkap pula ikan sembilang;
Berkat usaha bersungguh-sungguh,
        Pasti genggam kejayaan cemerlang.

Bulan terang di malam hari,
        Bintang berkelip indah suasana;
Rajinkan usaha ilmu dicari,
        Kelak menjadi orang yang berguna.



Berlayar sampan di Pulau Kerudi,
          Terhenti pula di Pulau Keramat;
Indah tampan kerana budi,
          Tinggi usaha kerana semangat.

Indahnya mentari cahayanya jelas,
Bersinar terang menerangi hari;
Berusahalah diri jangan malas,
Walaupun berulang majukan diri .

Angin bertiup terasa nyamannya,
Sepoi bahasa membawa rahmat;
Berusaha dahulu sebelum berjaya,
Diiringi doa barulah berkat.

Tebuan hinggap di pohon halia,     
Ke sana sini bertemu lebah;
Usia muda janganlah disia,   
Nanti tua sesal tak sudah.


Diinginnya air di dalam perigi,
Buat mandian banyaknya manfaat;
Rajin berusaha tak akan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat.

Burung kelicap burung nuri,
Nyaring bersuara merdu rasanya;
Tanamkanlah azam pada diri,
Tekad berusaha untuk berjaya.


Karya : Ain Ainnia

No comments:

Post a Comment