Sunday 29 January 2017

Blog dikemaskini

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Rasa dah berhabuk blog ini..Fuhh..lama betul tak update.
Kali ini saya nak buat kelainan sikit dalam blog ini.
Maksudnya bukan sahaja penulisan kreatif tetapi soal bicara dan memori saya turut ingin dikongsi dalam blog ini.Alaaa..macam blog-blog yang lain pula.
Saya ada niat sebenarnya nak bukukan sebuah novel cinta karya Ain Ainnia.
Tapi buat masa sekarang ada kekangan nak buat novel sebab masih melanjutkan pelajaran.
Tengoklah novel cinta tu dapat diterbitkan atau pun tidak.Sebab nak buat novel cinta ni kena banyak imaginasi minda berkaitan cinta.haha..Diri sendiri pun bab cinta masih belum lulus lagi...Hahaha...yelah kalau bercinta mestilah akan ada cemburunya,rajuknya dan gaduhnya.Kena tengok pengalaman orang lain baru boleh adaptasi dalam novel.
Hmmm..

Pengalaman sendiri bercinta?

tak semua boleh dikongsikan..hehe..biarlah rahsia.Pernah bercinta, pernah dikecewakan,pernah ditipu dalam soal cinta dan pernah sayang tapi dahlah tak nak buka aib.hehe...Tapi dah move on dah dulu..huhuhu...Insyaallah tahun 2017 ni saya berharap bertemu dengan seorang jejaka iaitu bakal suami yang saya sayangi dan bagilah kami ruang untuk mempertahankan hubungan sehingga nikah.Doakanlah saya kahwin dengan lelaki yang ikhlas menerima saya seadanya dan baik.Aamiin.
Soal jodoh,kita tak pernah tahu.
Soal ajal juga begitu.
yang lepas itu,biarkannya berlalu.hehehhe

Baiklah kalau cerita soal jodoh memang ada je nak dibicarakan.haha..biarlah saya saja yang tahu hal peribadi saya..hehe.Dah topik lain,..haaa..kalau nak tahu saya gelar nama pena saya Ain Ainnia kerana itulah nama saya buat facebook dulu.....maka jadilah ainnia...Jadi,saya buat semua akaun media sosial saya dengan nama Ain Ainnia..nama manja juga tu nia..hihi.


Faham?huhuhu.
Baiklah kenapa nama tajuk dari Dunia Puitis tukar kepada blog Travelog Hati Cikgu Ain?
blog ini dah lama sebenarnya dari tahun 2012 dan baru tahun 2017 ni nak update balik.Dulu buat blog pun sebab suka berkarya.Tapi sekarang ini,saya fikir tak semua karya boleh dikongsikan sebab dekat sini pun saya dah unable copy..huhuhu...
sebab nak ada kelainan.Bolehlah saya celoteh dalam blog ini.huhu.
maaflah saya ni ada kalanya periang dan peramah,ada kalanya pendiam.Ikut mood juga.
suka hati sayalah.blog saya kan.Tak suka jangan baca.Saya boleh tahu siapa suka saya dan siapa tak suka saya(daya firasat itu ada),jangan nak mengata kalau tak suka,buat tambah dosa saja.Saya tak kacau hidup awak,jangan kacau hidup saya,Baik datang ke hadapan dan tegur dengan cara elok kalau saya salah sebab semua manusia memang tak pernah sempurna.Saya bukanlah nak kata saya baik,cuma saya jujur tak pernah ada sifat hasad dengki dengan orang lain.Bagi saya kalau dia berjaya,itu rezeki dia.Cuma kalau dalam soal cinta je saya memang cemburu dengan perempuan lain.Tu je..hahaha..

Baiklah,

asyik-asyik buat karya je.Apa kata saya santai je meluah bicara dalam blog ini.
Travelog itu kalau nak diikutkan kamus travelog ini bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan pelbagai kisah perjalanan atau pengembaraan. 
Jadi saja je letak Travelog Hati Cikgu Ain sebab nak buat coretan berkaitan perjalanan hidup saya..(tu pun kalau sempat update)hehehee..sebab sekarang tahun 2017 merupakan tahun sibuk saya sebagai bakal guru di IPGKBM.Maklumlah dah semester atas,orang kata dah senior tu memang sibuk sikit,nak buat business online pun tak sempat..Nanti habis belajar baru saya pertimbangkan.hehehe. :)
Nak siapkan tesis lagi.hmmm..Mohon doakan saya untuk berjaya dan kalau ada masa saya update lah blog ini dari semasa ke semasa.Kalau nak saya kongsikan tips berkaitan sesuatu cakaplah tips apa.Boleh dm saya di instagram ain.ainnia atau pm saya di Facebook Ain Ainnia atau hantarkan saja cadangan anda untuk saya kongsikan entri apa di ainjalani@gmail.com
haaa..sebelum itu,kalau nak baca karya-karya saya,bolehlah lihat di bahagian tepi ruangan blog ini dari tahun 2012 sampai 2017.hehehe..sekadar karya coretan apabila ilham tu datang.hehehe
Sekian,itu saja pengenalan blog kali ini..hehehehe.:)
Senyum sebaris.

Yang Benar,
Ain Ainnia

Pantun Nasihat

PANTUN NASIHAT:
BERUSAHA UNTUK BERJAYA
Burung merbah burung kenari,
         Hinggap di dahan pohon getah;
Banyakkan usaha kepada diri,
         Masa kita muda dan mentah.

Pergi berburu hingga sempadan,
         Dapat kancil penuh bermaya;
Diri kita penentu masa hadapan,
        Sama ada baik atau sebaliknya.

Menangkap haruan di nun jauh,
        Tertangkap pula ikan sembilang;
Berkat usaha bersungguh-sungguh,
        Pasti genggam kejayaan cemerlang.

Bulan terang di malam hari,
        Bintang berkelip indah suasana;
Rajinkan usaha ilmu dicari,
        Kelak menjadi orang yang berguna.



Berlayar sampan di Pulau Kerudi,
          Terhenti pula di Pulau Keramat;
Indah tampan kerana budi,
          Tinggi usaha kerana semangat.

Indahnya mentari cahayanya jelas,
Bersinar terang menerangi hari;
Berusahalah diri jangan malas,
Walaupun berulang majukan diri .

Angin bertiup terasa nyamannya,
Sepoi bahasa membawa rahmat;
Berusaha dahulu sebelum berjaya,
Diiringi doa barulah berkat.

Tebuan hinggap di pohon halia,     
Ke sana sini bertemu lebah;
Usia muda janganlah disia,   
Nanti tua sesal tak sudah.


Diinginnya air di dalam perigi,
Buat mandian banyaknya manfaat;
Rajin berusaha tak akan rugi,
Buat bekalan dunia akhirat.

Burung kelicap burung nuri,
Nyaring bersuara merdu rasanya;
Tanamkanlah azam pada diri,
Tekad berusaha untuk berjaya.


Karya : Ain Ainnia

Skrip Drama

DRAMA: DUA ALAM AINIMELIDIA
Karya: Ain Ainnia
Babak 1
Pencerita : Pada zaman dahulu,di dalam sebuah istana yang indah di negeri bunian,tinggal seorang puteri cantik yang bernama Puteri Ainimelidia bersama Raja Iskandariah dan Permaisuri Bennalia.Puteri Ainimelidia merupakan puteri tunggal kesayangan Raja Iskandariah dan Permaisuri Bennalia.Puteri Ainimelidia seorang anak yang manja.
Puteri Ainimelidia: Ainimelidia sayang Ayahanda dan Bonda.
Raja Iskandariah : Ayahanda dan Bonda juga sayangkan Ainimelidia.
Permaisuri Bennalia: Sudah tentu kami menyayangi dirimu Ainimelidia.
Pencerita: Di dalam istana bunian juga,terdapat satu sudut taman bunga yang dipenuhi mawar merah kesukaan Puteri Ainimelidia.Tambahan pula,Puteri Ainimelidia suka memetik bunga mawar merah di taman tersebut.
Raja Iskandariah : Puteriku sayang,anakanda mahu pergi ke mana?
Permaisuri Bennalia : Ya puteriku,anakanda mahu pergi ke mana?
Puteri Ainimelidia : Ayahanda,Bonda… Ainimelidia mahu pergi melihat taman bunga mawar di belakang Istana.
Raja Iskandariah : Baiklah,hati-hati.Pastikan anakanda pergi bersama pengawal Istana.
Permaisuri Bennalia: Ya,benar… anakanda itu puteri kami yang cantik.Tentu ramai sekali yang terpikat dan keberangkalian untuk diculik itu tinggi.
Puteri Ainimelidia : Baiklah,Ainimelidia akan lebih berhati-hati.
Babak 2
Puteri Ainimelidia : Wah,sungguh nyaman di Taman Bunga Mawar ini.Gembiranya rasa hatiku ini.
Pengawal Istana : Manisnya apabila Puteri Ainimelidia tersenyum.Patik senang melihatnya.
Puteri Ainimelidia  : Eh,ada-ada sahaja tuan hamba ini.Hehe.Wah,cantiknya bunga mawar merah ini.Kembang sekuntum pada petang ini.Ingin sekali diri ini memetiknya.


Pencerita : Tiba-tiba,suatu hari semasa Puteri Ainimelidia memetik bunga mawar merah,Puteri Ainimelidia terkena duri mawar tersebut.Kemudian,Puteri Ainimelidia pengsan dan lesap secara tiba-tiba.Puteri Ainimelidia dipercayai terkena sumpahan mawar merah iaitu tidak boleh kembali ke alam bunian kecuali selepas menemui cinta sejati manusia.
Puteri Ainimelidia : Aduh,sakitnya….Tolong (hilang dari radar dan lesap secara tiba-tiba).
Pengawal istana : Eh,kenapa ni Tuan Puteri…Tolong!
Raja Iskandariah :Ada apa ini wahai pengawal istana?
Permaisuri Bennalia:Ya,ada apa?Mana puteri kami?Puteri Ainimelidia?
Pengawal istana: Sebenarnya,semasa Tuan Puteri Ainimelidia memetik bunga mawar merah di taman ini,Tuan Puteri telah terkena duri mawar dan tiba-tiba lesap dari sini.Tidak tahu entah ke mana.
Pencerita: Raja Iskandariah dan Permaisuri Bennalia tergamam.Mereka tahu akan sumpahan mawar merah tersebut kerana pada zaman dahulu,seorang bunian sihir yang jahat iaitu Zaroga telah berdendam dengan Raja Iskandariah yang memutuskan cinta mereka telah bersumpah bahawa puteri mereka ini akan terkena sumpahan mawar merah dan penawarnya hanya cinta sejati manusia.
Permaisuri Bennalia : Kanda,anak kita Kanda…Sumpahan itu Kanda…(menangis)
Raja Iskandariah: Kita terpaksa merelakannya Dinda. Zaroga telah menyumpah anak kita begitu sejak Ainimelidia lahir lagi.Kita hanya mampu berharap menjumpai Ainimelidia bersama cinta sejatinya suatu hari nanti.(tertunduk kecewa).
Permaisuri Bennalia :Kanda….(menangis).Dinda juga berharap cinta sejatinya mampu membawa kembali anak kita tetapi pada saat itu kita harus merelakannya menjadi manusia di alam nyata.
Raja Iskandariah : Benar,sabarlah dinda.Ini semua percaturan hidup.Marilah mendoakan kebahagiaan puteri kita di alam manusia iaitu alam nyata.
Pencerita: Raja Iskandariah dan Permaisuri Bennalia akur dengan kehilangan anak mereka iaitu Puteri Ainimelidia.Mereka hanya mampu berharap dan mendoakan kebahagiaan anak mereka supaya bertemu cinta sejati tetapi mereka juga harus akur,Ainimelidia harus tetap di alam nyata dan bukan lagi di alam ghaib yang bernama alam bunian apabila bercinta dengan manusia.
Babak 3
Pencerita: Puteri Ainimelidia telah sampai ke alam manusia.Dia kini mampu dilihat oleh mata kasar manusia.Dia telah ditemui di Jalan Chow Kit,Kuala Lumpur.Pada ketika itu,Ainimelidia kelihatan binggung dan telah dibantu oleh seorang lelaki tampan yang bernama Danial yang merupakan seorang pengurus sebuah apartmen dan kaya orangnya.
Danial :Cik,kenapa ini cik?ada masalah ke?
Puteri Ainimelidia: Saya sesat.Sekarang ini saya tidak tahu saya di mana.Encik ini siapa?
Danial:Hmm,cik sesat?cik dari mana sebenarnya?boleh saya tahu nama cik yang cantik dan manis ini?Oh ini Kuala Lumpur.
Puteri Ainimelidia:Kuala Lumpur?Maksudnya saya di alam manusia?Alam nyata?
Danial: Mestilah alam manusia takkanlah alam bunian.Buat lawak pula cik ini.
Pencerita: Puteri Ainimelidia  tergamam.Dia terpaksa berbohong tentang identiti dirinya.
Puteri Ainimelidia: Saya Puteri Ainimelidia,boleh panggil Ainimelidia.Saya dari alam….Hmm….dari…
Danial : Namanya unik.Dari Shah Alam?Ada tempat tinggal?Kalau begitu mari ke apartmen yang saya sewakan.
Ainimelidia: Ha?Shah Alam?betul lah tu.Tiada tempat tinggal. Bolehlah..Terima Kasih Encik.
Babak 4
Pencerita: Ainimelidia telah bermimpi berkaitan sumpahan mawar merah itu.Dia perlu mencari cinta sejatinya untuk kembali ke alam bunian.Setelah tiga bulan menginap di apartmen yang Danial sewakan, Ainimelidia telah bekerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Semakin hari,Ainimelidia jatuh hati pada Danial. Ainimelidia terhutang budi pada Danial yang menyewakan apartmennya.Danial akan datang pada hujung minggu saja untuk melihat Ainimelidia.
Ainimelidia :Baik sungguh hati Encik Danial.Haaa..aku jatuh cinta..hehe…mungkinkah dia cinta sejatiku?hehe…lalala(gembira)
Pencerita :Namun,malangnya suatu hari Danial telah cuba untuk mencabul kehormatan Ainimelidia dan akhirnya Ainimelidia lari meninggalkan Danial. Hatinya hancur dan remuk apabila lelaki yang dicintainya hanya mahu mengambil kesempatan dalam pertolongan yang diberikan.
Danial: Ting Tong (bunyi loceng pada pintu) Hai,Ainimelidia..
Ainimelidia: Eh,Encik Danial.Masuklah ke apartmen.
Danial: Cantiknya awak pada hari ini.(Sambil memegang pinggang Ainimelidia)
Ainimelidia : Encik,apa ni…Encik Danial….lepaskan saya..Tolong!
Danial : Saya nak awaklah layan nafsu saya.
Ainimelidia : Dasar lelaki tak guna! (tampar Encik Danial dan lari).
Danial : Kurang ajar….arghhhh…
Babak 5
Pencerita: Dua tahun kemudian,Ainimelidia telah ditawarkan bekerja sebagai model peragaan kerana kecantikan wajahnya.Selepas balik daripada sesi fotografi,Ainimelidia terlihat satu iklan saintis terkenal iaitu Dr.Harwish.Lalu Ainimelidia bertemu Dr.Harwish untuk bertanya penawar sumpahan mawar merah selain cinta sejati.
Ainimelidia: Doktor,bolehkan saya mencari penawar diri saya?
Dr.Harwish: Penawar?saya seorang saintis sahaja.Ya penawar apa itu?
Ainimelidia :Penawar untuk hantar diri saya ke alam bunian semula.
Dr.Harwish :Ha?(terkejut dan merenung mata Ainimelidia dengan panahan cinta).
Ainimelidia: Benar Doktor.Saya ialah puteri bunian yang mencari cinta sejati manusia.
Babak 6
Pencerita: Hari bersilih ganti,Dr.Harwish sering memikirkan Ainimelidia.Tiba-tiba,Dr.Harwish melihat pada rekod perjumpaan.Di situ tertera nombor telefon Ainimelidia.Dr.Harwish menelefon Ainimelidia dan akhirnya mereka selesa berkawan antara satu sama lain.Dr.Harwish juga telah jatuh cinta pada Ainimelidia dan menerima bahawa Ainimelidia merupakan puteri bunian.
Ainimelidia: Doktor,terima kasih kerana memahami saya selama ini.Saya…
Dr.Harwish : Sama-sama. Tidak perlulah panggil saya doktor.Panggil sahaja Abang Harwish.Sebenarnya saya telah jatuh cinta pada awak,Ainimelidia.
Ainimelidia: Saya juga turut merasa seperti itu.Saya cintakan Abang Harwish.
Dr.Harwish : Sudikah awak menjadi isteri saya?
Ainimelidia: Ya saya terima seadanya untuk tinggal di alam manusia bersama Abang Harwish.
Babak 7
Pencerita: Tiba-tiba suasana menjadi gelap.Mereka berdua hilang dan ke alam bunian.Akhirnya Ainimelidia berjumpa Raja Iskandariah dan Puteri Bennalia buat kali terakhir kerana selepas ini Ainimelidia akan menjadi seorang manusia biasa.
Raja Iskandariah : Puteriku…
Permaisuri Bennalia :Ainimelidia,kamu baik-baik sahaja kan?yang ini siapa ya?
Puteri Ainimelidia: Ini Abang Harwish.Cinta Sejati Ainimelidia.Selepas ini kami akan berkahwin dan Ainimelidia telah bersetuju untuk menjadi manusia biasa dan memeluk agama Islam dan tidak mengikut budaya kita lagi sebagai orang bunian.
Raja Iskandariah : Kami sudah maklum berkaitan hal itu.Maafkan ayahanda.Oh ya,Harwish,jaga puteri kami baik-baik ya.
Dr.Harwish: Baiklah (tergamam).Akanku jaga dirinya sepenuh hati.
Permaisuri Bennalia: Tidak mengapa Puteriku.Kalau anakanda rindukan kami,pandanglah ke cahaya bulan.Kami akan ada di situ.Kembalilah ke alam manusia.
Ainimelidia:Baiklah.Marilah Abang Harwish,kita kembali ke alam nyata.Saya cintakan awak.
Dr.Harwish:Marilah sayangku.Saya juga cintakan awak.
Pencerita: Akhirnya,Ainimelidia masuk Islam dan menjadi isteri Dr.Harwish.Sumpahan mawar merah juga terlerai dan Ainimelidia menjadi manusia sepenuhnya.Kehidupan dua alam ini begitu misteri.Demi sumpahan dan kerelaan cinta,kehidupan di alam ghaib hanyalah kisah silam Ainimelidia. Kini,mereka hidup bahagia buat selama-lamanya bersama disulami cinta sejati.

-Tamat-

Sajak: Gemersik Syahadah

GEMERSIK SYAHADAH

Saatku lafazkan gemersik syahadah,
aku ingin menjadi seteguh karang
di luas lautan kehidupan ini
tak akan roboh dek hempasan ganas
ombak musim tengkujuh

Gemersik Syahadah,
Menemaniku saat kesedihan,
Bukan fatamorgana dalam  khilafku,
Ku masih perlu cahaya petunjuk-Nya,
Bersama doa ungkapan keikhlasan.

Walau hatiku pernah terluka,
dek tusukan kerikil ujian,
aku tidak akan goyah,
meredah denai kesukaran,
akanku tepis lembing cabaran,
dengan keyakinan iman atas izin-Nya.

Terungkapnya gemersik syahadah
mengakrab syahdu pada tiang seri hajatku
diiringi doa kudusku
untuk mengapai piala kemenangan
hasil sebuah perjuangan dunia ini
untuk ke akhirat kelak
rahmatilah hatiku Ya Allah
Setiap gemersik syahadahku
Diiringi linangan air mata
penuh cinta terhadapmu.

Karya: Ain Ainnia





Gurindam: Kasih Kita

GURINDAM : KASIH KITA
Kasih kita penuh abadi,
Kepada ilahi sehingga bersemadi.

Kasih kita bersemi bahagianya,
Kepada ayah dan ibu selamanya.

Kasih kita damai sentiasa,
Kepada alam aman sentosa.

Kasih kita tetap di hati,
Kepada agama sehingga akhirat nanti.

Kasih kita bukan sebarangan,
Kepada ilmu demi kejayaan.

Kasih kita selamanya bersama,
Teguhkan iman utuh biar lama.

Kasih kita mekar sentiasa,
Diiringi doa tidak putus asa.

Kasih kita seindah bicara,
Kepada negara setinggi menara.

Kasih kita nikmat kurniaan,
Kepada diri peliharalah kesihatan.

Kasih kita biarlah ikhlas,
Belajarlah bersyukur jangan culas.



Karya: Ain Ainnia

Cerpen Bingkisan Mahabbah Suci

BINGKISAN MAHABBAH SUCI
Oleh: Ain Ainnia
Saat hati Azirah tiada penghuninya kerana dirinya sudah letih dengan janji dan cinta manusia, lalu Azirah bertekad mengejar cinta ilahi dan tidak lama kemudian hadirnya Halim di dalam kehidupan Azirah.Ibarat terbitnya cahaya mentari dan munculnya bianglala tanpa disangka selepas hujan,begitu juga hati Azirah.Bagi Azirah,mengenali Halim adalah bab terindah di dalam coretan kehidupannya.
Selepas melalui pelbagai fasa dan dugaan sebelum menyulam mahabbah bersama dan membina mahligai kasih utuh tercipta,Azirah dan Halim kini sudah pun mendirikan rumah tangga selama dua puluh tahun dan dikurniakan lima orang cahaya mata.
“Ummi,ayah mana?”soal anak bongsu Azirah yang baru berusia lapan tahun.
“Ayah masih kerja lagi.Nanti petang ayah balik.Minggu ini Ummi dan Ayah nak pergi ke tanah suci,Mekah.Along,jaga adik-adik ya di rumah semasa kami mengerjakan Haji nanti”.Pesan Puan Azirah kepada anak-anaknya.
“Ummi,adik nak tanya,macam mana Ummi dan Ayah bercinta?”tanya anak bongsunya.
“Oh,ayah dan Ummi dulu berkawan baik dan selalu pergi ke perpustakaan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) bersama-sama untuk mengulangkaji pelajaran.Begini ceritanya Ummi dan Ayah bercinta... “Azirah mengimbau kembali kenangannya bercinta.
“Eh,awak…Kenapa ini?awak baik-baik saja ke?Nak saya telefon hospital?awak?”Tanya Azirah cemas yang melihat Halim ketika itu hendak pengsan di sebuah Tasik semasa beriadah untuk bersenam.
Selepas itu,Halim pengsan dan tidak sedarkan diri.Azirah pula cemas dan meminta tolong orang sekeliling dan membawa Halim ke Hospital Kuala Lumpur.
Setibanya di Hospital,keluarga Halim yang merupakan orang kaya yang ternama di Kuala Lumpur berasa cemas dengan penyakit anaknya dan pada waktu itu Datin Maznah dan Datuk Ismail terserempak dengan Azirah.Doktor pula telah mengesahkan bahawa Halim menghidapi kerosakan kedua-dua buah pinggang dan memerlukan penderma buah pinggang dengan segera.
“Maaf ,anak Datin dan Datuk terpaksa mencari penderma buah pinggang yang sesuai.Kalau tidak anak datin dan datuk akan pergi buat selama-lamanya.”Ujar Doktor.
Tiba-tiba Azirah mencelah…
“Saya sanggup doktor untuk mendermakan satu buah pinggang saya untuk Halim.”Kata Azirah.
Datin Maznah dan Datuk Ismail tergamam.Mereka akhirnya berkenalan dengan Azirah dan akur dengan keputusan Azirah untuk mendermakan satu buah pinggangnya kepada Halim.Hasilnya,keputusan makmal uji kaji hospital mendapati bahawa buah pinggang Azirah sesuai untuk Halim.Tambahan pula,sebenarnya,Azirah sudah lama menyimpan perasaan dengan Halim semenjak mereka berkawan baik lagi.Oleh hal yang demikian,Azirah sanggup untuk mendermakan buah pinggangnya kepada Halim.
Hari berganti hari,akhirnya Halim sembuh lalu melamar Azirah sebagai suri hatinya buat menjaga dirinya selama-lamanya.Sebenarnya Halim juga turut menyimpan perasaan dan jatuh cinta kepada Azirah namun tidak berani untuk meluahkannya.Selepas Halim mengetahui Azirahlah penderma buah pinggangnya,Halim menyuarakan hasrat untuk melamar Azirah dan akhirnya cinta Halim diterima kerana Azirah turut menyimpan rasa cinta yang sama terhadap Halim dan mereka pun berkahwin serta direstui oleh Datin Maznah dan Datuk Ismail.
Aku terima nikahnya Azirah Binti Johari dengan mas kahwinnya RM 100 tunai”,begitulah lafaz akad yang diujarkan oleh Halim.
“Sah,Alhamdullilah”…kata Tok Kadi.Maka,Azirah dan Halim pun sah menjadi suami isteri.
"Sayang ikhlas menerima abang?," tanya Halim kepada isterinya.
"Abang, abanglah lelaki yang Azirah sayang selama ini.Azirah sebenarnya sudah lama jatuh hati kepada abang tetapi malu mahu mengaku perasaan ini terhadap abang," Azirah mengangguk menyakinkan.
“Terima Kasih sayang dermakan buah pinggang buat abang dan terima abang seadanya.Abang cintakan sayang.”mengalir air mata Halim ketika mengucapkan ungkapan sayang pada Azirah ketika itu.
Kini,mereka telah bercinta selama dua puluh tahun dan dikurniakan lima orang cahaya mata.
“Oh,macam itu Ummi dan Ayah bercinta.Sedihlah Ummi.”Kata anak bongsu Azirah.
“Sebab itulah kena sayangi Ummi dan Ayah.Kalau Ummi dan Ayah dah tiada nanti di muka bumi ini,Along tolong jaga adik-adik ya dan doakanlah Ummi dan Ayah sentiasa kerana doa anak yang soleh dan solehah itu berkat dan penuh syafaat.”Pesan Azirah.
Kini masa yang ditunggu telah tiba,Halim dan Azirah akan berangkat untuk mengerjakan Haji di Tanah Suci Mekah.Selepas dilaungkan azan,mereka pun berangkat.
“Along,Angah,Uda,Acik,Ucu…Ingat ya pesan Ayah.Jangan nakal-nakal.Along dah berumur 19 tahun dah kan?jadi,tolong capai cita-cita Along dan kalau ada apa apa berlaku pada Ummi dan Ayah,jangan risau,kami dah sediakan wasiat buat kalian.Jaga Atuk dan nenek juga ya.”Pesan Halim pada anak-anaknya.
“Ya,jaga diri ya anak-anakku.Andai panjang umur,kita jumpa lagi.”Pesan Azirah pada anak-anakya pula.
Setibanya di tanah suci, jiwa mereka sangat tenang.Halim dan Azirah juga dipermudahkan untuk mengerjakan ibadah haji mereka.Kedengaran zikir-zikir yang sentiasa memuji kebesaran Allah.Malangnya,suatu hari semasa di Jabal Rahmah,Mekah, Azirah tergelincir daripada batu besar di situ dan terjatuh dari tingkat atas.Halim cuba untuk menyelamatkan Azirah namun tergelincir sama di depan Jabal Rahmah iaitu tempat Adam dan Hawa bertemu pada zaman dahulu.Mereka akhirnya terjatuh dan terhimpit batu besar di sana sambil berpegangan tangan dan melihat kepala masing-masing yang berlumuran darah.
“Abang,Azirah cintakan abang,maafkan Azirah andai Azirah ada buat silap kepada abang selama kita berkahwin”,kata Azirah tersekat-sekat.
“Abang pun cintakan sayang” Walaupun kasih abang tidak sesempurna kasih Adam kepada Hawa,tidak juga sesempurna cinta Laila dan Majnun,tetapi abang cuba untuk menjadikan kisah cinta kita,sesempurna cinta hamba kepada Sang PenciptaNya iaitu Allah”lafaz Halim dengan ikhlas.
Mereka saling memegang tangan dengan erat dan akhirnya menghembuskan nafas yang terakhir di hadapan Jabal Rahmah,Mekah. Cinta mereka juga begitu utuh sehingga bersama menghadap ilahi. Jenazah pula dikebumikan berdekatan di kawasan Jabal Rahmah,Mekah.
Pada akhirnya,anak-anak mereka bersedih namun mereka redha dengan pemergian kedua-dua ibu bapa mereka.Anak-anak Azirah dan Halim kini dibesarkan oleh Datuk dan Nenek mereka iaitu Datin Maznah dan Datuk Ismail.Mereka sentiasa mendoakan Arwah Halim dan Arwah Azirah supaya tenang di alam sana.Inilah Bingkisan mahabbah suci.Cintailah seseorang ikhlas kerana ilahi kerana setiap kisah cinta yang ikhlas itulah namanya jodoh dari Tuhan. Manusia hanya mampu merancang tetapi segala ketetapan adalah milik-Nya.Carilah cinta Ilahi barulah cintai diri seorang manusia.

-Tamat-