Wednesday 24 June 2020

Pengalaman Diriku Bersalin anak Pertama

Bismillah.
Assalamualaikum semua. Apa khabar? Rasanya dah lama Ain tak update dekat Blog ni..huhuhu
Baiklah, macam sebelum ni entry Ain yang paling last ialah Pengalaman Diriku Hamil anak Pertama kan.. Ok untuk entry kali ni pula ain nak cerita Pengalaman Ain bersalin anak Pertama.

Hmmm..kalau nak ingat balik sebenarnya dah lama dah.. Ain bersalin pada tahun 2019..sekarang 2020..haha.. kalau ingat balik memang rasa tak nak bersalin lagi dah.. Takut. tapi tak kan nak seorang je kan?mesti anak ibu nak kawan..hehe.. Tapi tu lama lagi.. Tak nak fikir pun saat sekarang ni bila snak mengandungkan anak kedua,,huhu. Sekarang fokus nak besarkan si kecil je.

29 Januari 2019 -HSAJB

Setelah 12 jam menahan sakit di dewan bersalin, air ketuban makin kering, maka doktor pakar datang selalu setiap 3 jam untuk tengok bukaan jalan. Lepas 12 jam bukaan masih 5cm. Nak tunggu ke 10 cm tu lamanya.😭 Kalau tambah lagi 6 jam, air ketuban kering dan risiko baby lemas sebab jantung baby dah laju.Dah rasa sakit kontraksi tu. Sakitnya tu.😣 Bila rasa nak teran, doktor tak bagi sebab takut bengkak, servik masih tebal, baby pula dah rasa dah ke bawah..Tapi air ketuban dah kering, tak ada bantuan untuk melancarkan baby keluar dari bawah.😭😭
Maka doktor pun kata mereka terpaksa emergency czer.😒 Ya Allah rasa nak nangis. Dugaan apa waktu ini. Ingatkan keluar bersalin normal tapi terpaksa dibedah. Kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.Haraplah kalau ada rezeki akan datang, diriku ini dapat merasa melahirkan secara normal bukannya secara czer yang sememangnya menyakitkan selepas ubat bius hilang.😭Aamiin.Setelah tunggu semalaman, maksud ke bilik pembedahan dan doktor pun mula dengan bius separuh kemudian lepas rasa dibelah doktor bius penuh.

30 Januari 2019, 12.53 pagi maka lahirlah puteraku yang diberi nama Muhammad Hadif Firas Bin Mohd Hafiz dengan berat 3.34kg.Tapi diri ini sedar pukul 2.15 pagi. Alhamdullillah Allah masih beri diri ini peluang untuk hidup membesarkan anak walaupun doktor kata ada tumpah darah sikit.😭 Masa sedar tu doktor beritahu Ain jangan banyak gerak.. Doktor kata ain mengalami banyak tumpah darah..Doktor beritahu 3 paket darah o yang diderma dah masuk dalam badan Ain. Masa tu Ain diam sekejap, Allah baru tahu kepentingan derma darah ni, untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Terima Kasih sesiapa yang derma darah tu. Doktor kata nafas Ain tercungap-cungap sebelum sedar tu.. Allah.. dah takut dah.. Tapi alhamdullillah selamat. Rasa nak nangis bila ingat balik. Selepas itu, doktor bagi tengok anak dan tanya jantina, maka Hadif masa tu nangis dan diam bila ibu pegang, dapat pegang kejap je doktor bawa anak ke wad bayi dan kami di wad 3 hari.


Kini, anak ibu dah 1 tahun 5 bulan dah.. 
Doakan semoga anak ibu membesar dengan sihat dan jadi anak soleh.. Ibu sayang sangat anak ibu. Sayang sangat lillahitaala... Bersyukur dapat jadi ibu Hadif Firas. Jadi anak yang baik dan pintar ya nak. :)



Sunday 27 January 2019

Pengalaman Diriku Hamil Anak Pertama

Kali ini diriku nak berkongsi secara santai mengenai pengalaman diri ini hamil anak pertama.Masa tulis ni diri ini sedang menunggu hari. Kandungan dah masuk 38 minggu. 

Permulaan mengetahui diri ini disahkan hamil atau mengandung ialah pada raya tahun 2018 iaitu pada Jun 2018. Pada masa bulan ramadhan tahun lepas memang tak dapat dinafikan diriku puasa sebulan. Terkejut juga. Tapi emosi kadangkala lain, cepat penat dan rasa letih je.Tapi adalah buat pregnancy test tu atau dengan kata lain UPT, tapi garisan pada UPT tu satu terang dan satu kabur. jadi tak naklah mengharap lebih. Takut kecewa sebab nak zuriat.

Namun, pada Jun 2018, baliklah kampungku di Batu Pahat, Johor untuk beraya. Malam itu, mamaku suruh pergi ke klinik untuk sahkan kandungan betul ke tidak. Masa mula scan tu doktor kata tak jelas. Lepas buat UPT di satu klinik ni lah.. Doktor kata diriku positif hamil. Bila dikira anggaran usia kandungan pada masa itu ialah 6 minggu. Allah,sungguh diri ini tak percaya. Betul ke ada insan kecil yang bergelar janin dalam rahimku ini. Dalam hati hanya Allah saja yang tahu betapa gembiranya rasa nak jadi ibu.Kemudian pada usia kandungan 2 bulan, mulalah diri ini pergi ke klinik untuk check-up dan buat buku pink tu.huhu.

Tapi, semuanya berubah. Hormonku berubah dan diriku mula mabuk dengan teruk. Muntah-muntah. Makan tak kena, muntah balik. Masa ni dapatlah merasa berat turun kejap.haha.. Dalam usia kandunganku 4 bulan, kadar mabukku beransur pulih.

Pada usia kandunganku 5 bulan sehingga 6 bulan. Kadar selera makanku bertambah.Sampai naik berkilo dah. Nak nangis pun hadapi je lah.. Lagipun tengah berbadan dua,normal lah berat naik. Jadi, tetap teruskan makan. Mengandung anak pertamaku ini, tiada pula ku rasa mengidam sangat. Cuma adalah rasa nak minum air kelapa, rasa nak makan nasi goreng je. Haha. Paling  'fav' masa ni, Nasi Ayam. Saat ni, ku rasakan bayi di dalam kandunganku dah mula gerak dan rasa tendangannya. Setiap masa diri ini sakit pinggang tapi tetap ku gagahi juga.Masa ni terdetik hati nak pergi scan jantina bayi. Bila pergi scan baby malu nak tunjuk kemaluannya. Takpelah dalam hati kata.Yang penting sihat,normal,cukup sifat dan comel. hehe..aamiin.

Pada usia kandunganku nak masuk 7 bulan, diri ini diuji dengan demam panas dan lelah. Terpaksa juga tahan diri sampai dua hari, tapi tak baik juga demam ini. Jadi,diriku pulanglah ke Batu Pahat sebab nak jumpa keluargaku sangat dan pada malam itu juga diri ini telah masuk ke wad Hospital Nora Ismail, Batu Pahat. Masuk je wad maka diri ini terpaksa lah tahan sakit dengan kena cucuknya. Hanya allah je tahu. Masuk pula wad yang nampak ramai ibu mengandung ni tunggu hari je nak bersalin. Maka, selama dua hingga tiga hari ditahan di wad, diriku beransur pulih dan sihat. Doktor kata bahaya kalau demam waktu mengandung. Sebab itulah diri ini ditahan dan jururawat sentiasa pantau detak jantung kandunganku.

Pada usia kandunganku 8 bulan, masa nak masuk 31 minggu, diri ini nak sangat tengok scan 4D tu. Baby tak nak tunjuk muka sangat tapi nampaklah pipi dia yang gebu tu, kaki dan tangan yang sangat comel. Dalam hati rasa nak nangis pun ada. Huhu. entahlah semenjak nak jadi ibu ni, sensitif lain macam, Seronok sangat bila doktor beritahu jantina baby. Tapi kita tunggu je lah baby keluar nanti.
hehe.

Pada usia kandunganku 34 minggu nak masuk 35 minggu diri ini diuji sekali lagi. Malam itu, diriku duduk terhentak dan tiba-tiba rasa ada air mengalir. Ya allah, rasa cuak sangat. Takut air ketuban pecah. Tapi tak nak lagi pergi hospital. Tiba-tiba, perut sakit sangat macam ada kontraksi. Tak nak bersalin lagi waktu ini sebab belum cukup 9 bulan. Tak sampai hati nak tengok ada wayar dekat baby punya dada  dan baby kena tahan nanti kalau bersalin waktu ini. Jadi, beritahulah suami dan dia terus ke hospital. Sampai je hospital, perut masih sakit lagi. Ingatkan tak kena masuk wad, hanya untuk check je betul ke tu air ketuban. Bila masuk je hospital dekat bilik pemeriksaan, perutku tiba-tiba mengeras. Bila doktor scan baby, dia kata kepala baby dah ke pangkal rahim. Ya allah sedihnya hati ini, tak redha lagi kalau baby keluar waktu ini. Nangis berabis dah waktu ini. Paling sakit bila tiba-tiba doktor kata nak buat VE. Apa itu VE? redhakan je lah. Ya allah masa ini phone tak ada dekat tangan tak bolehlah nak search apa itu VE. Lepastu tanya doktor apa itu VE. Ye lah bukan student medic,jadi tanyalah. Doktor jawab vagina examination. Maksudnya kena seluk dekat bawah tu. Ya Allah,punyalah sakit kena seluk tu. Darah tiba-tiba keluar banyak sangat dekat kemaluanku.Takut, sakit jangan cerita. Doktor kata cervix dah buka 2 cm. Ya allah apakah ini? redha je. Maka masuklah wad. Sebelum itu,doktor bagi suntikan dexa untuk matangkan paru-paru bayi. Ya Allah suntikan ni sangatlah sakit. Pedihnya. Maka sekali lagi air mataku mengalir. Ku kuatkan diri ini. Maka diri ini ditahan di hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru selama 2 hari. Doktor kata kalau baby keluar kami sambut je sebab baby awak masa ini dah 2.7kg. Tapi diri ini banyak kali berbual dengan anakku ini supaya jangan keluar dulu. Sampai menangis berdoa. Usap perut dan beritahu baby jangan keluar dulu ya.Kadang panggil nama baby. Hari pertama pagi di hospital, diri ini sekali lagi kena suntikan dexa kali ke-2. Sakitnya...tak tahu nak cakap apa dah. Memang sakit/ lagi sakit daripada suntikan pertama. huwaaa,menangis je lah untuk kuatkan diri ini. Hari kedua di hospital doktor check keadaan diriku makin stabil doktor check kepala baby dah kembali naik sikit. Tapi kena buat  VE lagi sebelum doktor bagi keluar sebab tak ada tanda nak bersalin. Alahmdullilah bukan air ketuban tapi mucus ibu hamil yang mengalir, doktor katalah. Hanya False Labour dan brixton hicks. Doktor seluk dan kata dah 1 cm tapi masih tebal. dah mengecut ke 0.5 cm dan doktor pun bagi keluar wad. Alhamdullilah syukur. Tapi doktor jangka 3 minggu lebih lagi bersalin iaitu kandungan 38 minggu ke atas.

Sekarang ini, diriku tengah menunggu hari. Setakat ini, ada rasa sakit pinggang dan kadangkala rasa kepala baby dah turun. tapi pada masa ini ku redha kalau baby nak keluar. Kalau boleh cuti raya cina ni lah ya.. Sebab due dah nak dekat 9 Februari 2019 ni. Doakan diri ini kuat untuk melahirkan zuriatku ini. Inilah yang dikatakan pengorbanan nak jadi seorang ibu.  Setiap orang lain pengalamannya nak jadi seorang ibu. Ini pengalamanku mengandungkan zuriatku sehingga tunggu hari (cukup bulan) dan ku sedar bahawa bukan mudah nak jadi seorang ibu. Patutlah syurga anak di bawah tapak kaki ibu.Sayangilah ibu anda. Inilah coretanku setakat ini, nanti akan ku ceritakan pengalaman ku bersalin. Takut juga ni. Moga Allah membantuku untuk berjuang melahirakan khalifah kecil di muka bumi ini. Ibu tak sabar nak jumpa anak ibu.Doakan baik-baik ya untuk diri ini. Moga yang baik-baik juga datang pada kalian. Jumpa di lain entri. Pengalaman bersalin pula selepas ini. Insyaallah.

Gaya macam baby ibu dalam kandungan je. Tak sabar nak jumpa.
Menghitung hari-38 minggu. Doakan yang baik-baik. Moga dipermudahkan urusanku bersalin.Aamiin.





Monday 10 September 2018

Guru Agen Perubahan


Engkaulah sejarah antara sejarah tercipta
engkau pengubah warna  pemikiran zaman
pemikiran berdasawarsa berkolonial di benak
dengan nama pembaharuan
aspirasi semasa

Gigih dikau menongkah arus
biarpun dikekang hadang jejak langkah
minda ummah
kebangkitanmu menyedarkan lena
mencerna gilap permata
di bumi kelam.
Berbekal semangat tekad
engkaulah arkitek bangsa
membina anak didik .

Dengan kental menyusun langkah
menggenggam bara
di meja warna rencam etnik budaya
memecah buntu
demi sebuah tamadun gemilang
bangsa berdaulat ke takhta dunia
tidak pernah luntur
kerana kasih dan sayang
pada pewaris zaman
Oh guru,
engkaulah agen perubahan
pendidikan abad  ke dua puluh satu ini.

MENUJU KEDEWASAAN


Mengimbau kenangan silam
Suka duka bercampur baur
Saling datang bersilih ganti
Setiap cebisan kenangan itu
Tetap tersulam tersimpul rapi
Hingga saat kedewasaan ini.

Dari setiap cebisan silam
Mengajar erti kehidupan
Mengajar erti keinsanan
Matang menuju kedewasaan.

Saban hari diuji, teruji dan menguji
Mampukah bertahan berdiri
Atau kecundang rebah ke bumi
Semoga mampu mengenal diri
mengubah diri ke arah lebih baik
Sepanjang hidup dalam redha Ilahi

Tuesday 6 February 2018

Gerbang Bahagia

Begitu jauh ku termenung,
Hapuskan melankolia itu,
Selama mana hati disakiti
hapuskan memori dulu.
Ratapan kesedihan bukanlah jalan,
ku tarik nafasku dalam-dalam,
Bangkitlah menuju sinar baru,
Hidupkanlah hati dengan iman,
Hulurkan tanganmu itu wahai suamiku kelak,
Ku genggam erat jemarimu,
Mari kita langkah bersama,
Menuju gerbang bahagia,

Wednesday 2 August 2017

Puisi : Retak

PUISI: Retak


Barangkali kau 
Tak pernah ambil tahu
Betapa panjang akar cinta
Berselirat di hati ini

Menahan seinfiniti luka.

Barangkali kau tak tahu,
gumpalan kasih dulunya
kini terpaksa dileraikan
dan menjadi retak
akibat pendustaan dirimu,
sungguh sakit penuh duka 
menghancurkan hati ini.

Barangkali kau tak pernah sedar,
hidup ini pertarungan
di antara perkabungan
berubahlah mencapai satu tujuan
demi masa hadapanmu.

Barangkali kau tak terasa,
Cinta disemai penuh luka,
Ku kehilangan kanvas cintaku,
Dalam lemas bayangku sendiri
retak mengharap kesetiaanmu,
Terima kasih wangian kenangan 
memori dulu terpaksaku lenyapkan.

Kini,
Mampukah aku menafsir bintang malam
Tanpa dia di hatiku,
tetapi ku percaya pasti akan hadir yang terbaik,
mungkin bukan sekarang,
tetapi waktu ku benar bersedia.

Saat ini,
Kuatkan diri teruskan bernafas
selagi urat nadi ini dapat dirasakan
biarlah semua ini melukaiku,
ku pergi tanpa cintamu lagi
dan meraih cinta ilahi.


Memaafkan itu indah.

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera.
Cikgu Ain kembali lagi berceloteh.
maklumlah banyak urusan dan kerja yang perlu diselesaikan.

Kali  ini terasa nak berkongsi di dalam entri blog ini satu tajuk 
Memaafkan itu indah.

Tidak dapat dinafikan  manusia di dalam muka bumi ini tidak pernah sempurna.
Yang sempurna hanya Yang Maha Esa.
Salah satu cara untuk menjadi lebih baik ialah sentiasa memaafkan.

Ya,apabila kita didik hati kita untuk mudah memaafkan,
InsyaAllah jiwa kita akan tenang,

Baiklah,
pada mulanya apabila seseorang itu menyakiti hati kita,
kita akan terasa.
Siapa yang tak sakit hati kalau seseorang yang kita sayang menipu kita dalam diam.
Hanya Allah saja yang tahu sakitnya bagaimana.
Sukar diungkap.
Malah kalau yang melibatkan penipuan juga kita akan berasa kecewa.
Ya,sukar untuk melupakan kesalahan seseorang kepada kita
Memaafkan itu mudah tetapi melupakan itu sukar.

Segalanya ketentuan Allah.
Mungkin ini takdir.
Saya belajar jadi pemaaf kerana saya juga manusia yang tidak sempurna.
Masih belajar untuk perbaiki diri.
Kuatkan semangat dan capai kejayaan hidup di dunia dan juga akhirat.
Aamiin.

Ku perlukan kekuatan rohani untuk menghadapi cabaran dalam hidup ini,
Biarpun manusia pergi,tapi Allah tidak akan pernah meninggalkan kita.
Percayalah selepas hujan,pasti Allah hadirkan pelangi.
Teruskan tersenyum dan hadapi semua ini dengan ketenangan meski semua ini berat pada awalnya.
Allah tidak akan menguji seseorang jika seseorang itu tidak mampu.
Ku mampu hadapi semua ini.
Tetapi ku berharap moga selepas ini tidak ada lagi yang melibatkan ujian hati.
Ku penat dengan semua ini.
Sungguhku lelah.
Penat menahan sakit hati.
Biarkan semua ini berlalu.

Senyum Sebaris,
Ain Ainnia